Wednesday, April 17, 2013

Rajin : baca

"Malaysia negara demokrasi.. rakyat bebas bersuara.."

Aku pernah membesar di Pulau Langkawi. Ya! Pulau bebas cukai itu. Pulau yang menjadi 'syurga' untuk 'golongan maju' di bandar hari ini.

.........

Waktu itu aku membesar bersama Islam.. Sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang seusia denganku. Islam sedang berkembang luas waktu aku kecil..

Aku masih ingat, ibu bapaku yang pada awalnya agak 'jahil' tentang ilmu Islam; bukan dengan sengaja, tetapi waktu mereka membesar, Malaysia masih muda dan sedang membentuk. Rakyat Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti sangatlah sedikit bilangannya, dan ibubapaku bukanlah dari golongan yg sedikit itu, kami dari keluarga 'orang kebanyakan'..

Waktu kecil, kami dihantar ke 'sekolah kebangsaan' pada waktu pagi seperti kanak-kanak lain seusiaku.. Waktu malam, kami dihantar mengaji Al-Qur'an.. biasanya di masjid, surau atau rumah Tok Guru..

Sedang aku meningkat remaja, waktu itu juga Islam sedang membangun.. Aku diajar tentang hukum-hakam di sekolah, dan diperingatkan semula oleh ibubapaku di rumah..
Di TV dan media, sekatan dan penapisan dilakukan untuk mengelakkan masalah moral.. Ibuku sudah mula bertudung dan mengajar kami menutup aurat..

Ibubapaku amat tegas dengan isu bertudung waktu itu. Kami dilarang keluar rumah tanpa tudung. Isu cinta pula, lagilah penuh halangan. Bercinta memang haram untuk kami waktu itu. Budak lelaki tidak dibenarkan menghubungi kami di telefon.

Aku akui, aku bukan anak yg wara'. Pengaruh luar membuat aku ingkar perintah ibubapaku. Tetapi kerana ketegasan mereka waktu itu, aku sekadar nakal.

.........

Waktu kecil, setiap karangan tentang tokoh atau idola, nama Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad pasti tercatat di kertas. Hampir semua karangan menceritakan tentang beliau. Aku juga amat kagum dengan beliau.

Namun semakin aku meningkat remaja, aku mula terdengar kritikan tentang beliau. Antara yang paling 'terkesan' terhadap aku ialah pembinaan 'Burung Lang' yang menjadi lambang kemegahan Pulau Langkawi hari ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, pada mulanya ada sepasang patung, burung Lang jantan & betina yang menghadap matahari terbenam. (So sweeeeeetttt)

Tetapi para Ulama' di Pulau Langkawi amat berkeras menghalang pembinaan patung itu.

Salah satu faktor utama mereka menghalang waktu itu kerana ia seumpama berhala malah menghadap kiblat umat Islam.
Namun, atas arahan Perdana Menteri Malaysia waktu itu, ia tetap dibina cuma seekor dan dialih arahnya sedikit..

Kononnya:

Dataran Lang 
Menyusuri lautan luas ke Pulau Langkawi dan dari kejauhan kelihatan lambaian replika seekor burung helang gergasi apabila menghampiri jeti di Langkawi.
Ukiran replika burung helang yang berukuran 12.6 x 21.6 meter berdekatan dengan jeti pulau lagenda ini merupakan sebuah lagi mercu tanda yang terdapat di dalam daerah Langkawi. Ianya merupakan cetusan ilham YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Pembinaan replika ini telah menelan belanja sebanyak RM12.5 juta dan merupakan sebuah lagi dataran yang menarik di Pulau Langkawi sebagai tempat pelancongan.

Tetapi adakah anda tahu akibat pembinaannya untuk kami di Pulau Langkawi waktu itu? Ya, memanglah tiada siapa yang menyembah patung itu hari ini. Harap tiada sampai bila-bila.
Tetapi, kesannya hilanglah satu pantai tempat kami bermain istana pasir. Semakin jauhlah desiran ombak dari pendengaran kami. Pulau Langkawi sudahpun terkenal tanpa burung itu. Sudah ramai pelancong yang datang. Ramai pelancong datang untuk menikmati keindahan alam dan dapat juga membeli-belah. Sebelum wujudnya burung itu, kemegahan Pulau Langkawi adalah Masjid Al-Hana di Kuah yang dapat dilihat sebaik sahaja tiba di jeti. Hari ini, Masjid itu sudah dilindungi oleh seekor burung gergasi. 

Bermulalah masalah sosial remaja di kalangan kami waktu itu. Ibubapaku sudah mula pening kepala risaukan kami yang mula terpengaruh dengan keseronokan dunia yang semakin maju dibawah naungan Perdana Menteri waktu itu.

.........


Sehinggalah munculnya Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Dato' Sri Anwar Ibrahim, tokoh baru yang mula dicatat di buku-buku sekolah sebagai idola. Nama beliau sering disebut-sebut para ibubapa. Isterinya yang sopan menutup aurat dan selalu tersenyum mula menjadi idola para ibu. Kebijaksanaannya menjalankan tanggungjawab membuat para bapa lega.

Aku ingat lagi, kami sekeluarga pasti bersama-sama menonton 'Bajet Negara' yang dibentangkan beliau, yang merupakan Menteri Kewangan juga, saban tahun. Sorakan gembira dilaungkan setiap kali. Rakyat sudah mula menarik nafas lega. Alhamdulillah ada tokoh yang berakhlak di kalangan mereka. Inilah penyelamat masa depan negara. Dan waktu itu tiada siapa yang menolak kejujuran Dato' Sri Anwar Ibrahim. Jelas kelihatan dari raut wajahnya yang bercahaya setiap kali keluar di kaca TV. Ramai yang mula bergurau, kalau beliau bertanding, mungkin Dato' Sri Mahathir Mohamad akan bersara.

.........

1998 - Berita yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia.

Tiba-tiba, tokoh baru yang diharapkan untuk membimbing negara di dalam kemajuan telah ditahan atas tuduhan yang sangat berat, liwat. Memang ramai yang tidak percaya pada mulanya. Menganggap itu fitnah semata-mata. Mana mungkin tokoh berwajah jujur bercahaya, yang sentiasa menunjukkan akhlak baik itu melakukan perkara terkutuk sebegitu? Isteri dan keluarganya kelihatan sangat jauh lebih baik dari keluarga para menteri kebanyakkannya waktu itu yg hanya berselendang menampakkan jambul di depan... Mana mungkin? ...Kehendak Allah...

.........

Hari ini, 2013. Secara peribadi aku lihat negara ini sungguh kucar-kacir. Hidup pula di bandar Kuala Lumpur yang maju. Rungutan dan keluhan lebih banyak dari senyuman. Setiap hari ada sahaja isu dan masalah yang timbul.

Hari ini, tiada lagi kanak-kanak yang dirotan kerana tidak pandai mengaji atau ponteng mengaji.

Hari ini, para remaja ke kelab malam, minum arak dan mengadakan hubungan seks/zina bersama pasangan menjadi perkara biasa.

Hari ini rasuah seakan-akan keperluan dan menjadi 'common' dalam urusan perniagaan. Di mana-mana sahaja ada, sehingga jika difikir secara logik, dah tak tahu macam mana nak betulkan.

Hari ini, jika ada yang berpesan tentang agama dikata kolot malah dituduh sesat.

Hari ini, remaja Melayu bebas melaungkan mereka golongan Atheist (tidak percaya tuhan).

Hari ini orang Islam bergurau-senda tentang neraka yang bakal dihuni kerana dosa yang banyak.

.........

Nauzubillah.. Ya Allah, selamatkan kami umat Islam...
Hidup dan mati kami hanyalah untukMu...
Kami takut dengan azabMu Ya Rabb...
Ampunkan kami Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun...

.........

Alhamdulillah, hari ini juga Allah memberi semangat dan kekuatan kepada para Ulama' untuk bangkit menentang kebatilan. Memberi ilmu kepada yang semakin jahil.

Alhamdulillah, hari ini juga Allah memberi kemudahan untuk meningkatkan ilmu di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Alhamdulillah, hari ini Allah juga kurniakan kesenangan untuk umat Islam seluruh dunia berhubung mengeratkan silaturrahim.

.........

Semoga rahmat Allah tidak terus hilang. Semoga Allah perkenankan doa orang-orang yang beriman untuk memartabatkan Islam demi masa depan keluarga, keturunan dan seluruh umat Islam menuju ke Syurga Allah yang abadi...

No comments: